Jangan mengelak dari menerima suntikan vaksin: ADUN Daro

SELASA, 25 MEI 2021

DARO: Masyarakat di Daro yang telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 diminta untuk tidak mengelak dari menerima suntikan itu pada saat akhir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad turut menasihati orang ramai agar tidak berasa sangsi terhadap program vaksinasi tersebut kerana ia merupakan salah satu langkah kerajaan untuk melindungi rakyat di negeri ini dari wabak berkenaan.

“Agak mendukacitakan kerana masih terdapat yang telah mendaftar pada peringkat awalnya, apabila dihubungi untuk diberi vaksin ada yang masih menolak.

“Berdasarkan taklimat, kehadiran yg datang, puratanya 63% sahaja. Ini salah satu kerajaan utk menjaga kita dan menjaga semua.

“Pemberian vaksin ini langkah yang kita yakin dan percaya ianya berkesan untuk membendung Covid-19 ini. Jadi saya sekali lagi merayu penduduk di sekitar ini, datanglah apabila giliran kita untuk divaksin, janganlah risau kerana ramai yang telah menerimanya,” katanya kepada UKAS semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin Berpusat Daerah Daro pada Isnin.

Jelas Safiee setakat hari ini, seramai 3,373 dari 12,165 orang yang telah mendaftar telah divaksin dalam program fasa 1 dan 2 di daerah itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian melalui MySejahtera, ketua masyarakat, ketua kampung atau datang ke pejabat daerah.

Katanya, Sarawak akan menerima kira-kira sejuta lagi dos tambahan vaksin pada bulan depan untuk diagihkan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Seterusnya, Safiee menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 17 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Tanah Besar Daro.

Agihan JKKK Fasa 2 yang dilaksanakan di Pusat Khidmat DUN Daro melibatkan peruntukan sebanyak RM91,000.

Sumbangan fasa seterusnya bagi JKKK di daerah lain dibawah DUN. N43 Daro akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Safiee kemudiannya merasmikan simbolik penyerahan bantuan AFF bagi Input Pertanian untuk tanaman nanas kepada 22 orang peserta yang terlibat.

Input pertanian yang diberi adalah seperti peralatan pertanian, anak pokok, baja dan racun bagi membantu dan menggalakkan pengeluaran hasil tanaman berkualiti.

Bagi Daerah Daro yang melibatkan DUN Daro, jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 35 orang yang terdiri daripada input pertanian dan input ikan air tawar. – EDISI UKAS

Share

add comment