SELASA, 25 MEI 2021
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu tambahan bagi kedai makan dan minum.
Dalam kenyataan media pada Isnin, MBM telah menyenaraikan SOP tambahan yang perlu diikuti semua pengendali makanan dan minuman.
“Meja dan kerusi tidak boleh dipamerkan di dalam premis perniagaan atau di luar premis terutama di jalan lima kaki Hanya beberapa kerusi dengan jarak yang berpatutan dapat ditempatkan untuk pelanggan yang menunggu untuk mengambil barang-barang dibawa pulang mereka.
“Pengendali dan pekerja dibenarkan untuk membawa makanan dan minuman mereka di dalam premis dengan syarat mereka mengeluarkan dokumen yang diperlukan untuk membuktikan identiti mereka seperti lesen majlis, Sijil Kesihatan Pekerja, Sijil Pengendalian Makanan dan lain-lain. Pengendali hanya dibenarkan menyediakan meja dan beberapa kerusi untuk tujuan tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, sekiranya pengusaha makanan dan minuman gagal mematuhi syarat tambahan tersebut, mereka akan diambil tindakan undang-undang dengan menarik balik kelulusan operasi perniagaan atau tindakan lain yang berkaitan yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 17 Mei 2021 telah mengeluarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 18 Mei 2021. -EDISI UKAS