Penduduk Di Daerah Tatau Digalakan Mendaftar Sebagai Ahli RELA

SELASA, 25 MEI 2021

TATAU: Penduduk di Daerah Tatau yang berkelayakan digesa menjadi ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melaksanakan kerja-kerja sukarelawan. 

Menurut Pegawai Tadbir Daerah Tatau Merangkap Pegawai Bertanggungjawab  Mengurus Pusat Pemberian Vaksin Daerah Tatau Winnie Dian, penduduk di Daerah Tatau yang berumur 18 tahun ke atas layak mendaftar sebagai ahli RELA.

“Mereka boleh datang ke pejabat RELA Tatau di Wisma Persekutuan Bintulu dan juga boleh mendaftar secara atas talian di alamat http://myrela.moha.gov.my/myrela/index.php/online/permohonan_online.

“Antara kemudahan dan manfaat sebagai ahli RELA adalah mendapat elaun penugasan (mengikut prosedur yang ditetapkan) sebanyak RM8 sejam, latihan dan kursus RELA percuma dan sijil penyertaan serta penghargaan disediakan.

“Selain itu, menjadi ahli RELA adalah platform terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya semasa ditemui pada Ahad.

Tambah Winnie lagi, peranan RELA di Daerah Tatau ini amat  penting dan dihargai terutamanya apabila negara menghadapi pandemik COVID-19. 

Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan di kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan. -EDISI UKAS

Share

add comment