Pengukuran Tanah Seksyen 6 & Seksyen 18 di Kampung Skio Serta Kampung Tradisi Kawasan DUN Serembu Bermula

SELASA, 25 MEI 2021

BAU: Kerajaan Sarawak di bawah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah memulakan pengukuran tanah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Seksyen 6 dan Seksyen 18 di Kampung Skio dan juga termasuk pengukuran kampung tradisi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh memberitahu, ia merupakan satu berita gembira untuk penduduk di kampung Skio dan juga kawasan DUN Serembu kerana pengukuran tanah kali ini merupakan inisiatif yang julung kali diadakan di kawasan DUN Serembu.

Tambahnya, program itu diharap berterusan untuk kampung-kampung lain dimasa akan datang.

“Untuk pengetahuan semua, bukan kampung Skio sahaja tetapi dua kampung telah dimasuki oleh pasukan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) iaitu Kampung Seropak dan Kampung Seromah yang sedang dijalankan pengukuran tanah-tanah kampung tradisi dan berharap sangat selepas ini pihak JTS akan mula juga mengukur untuk Seksyen 6 dan Seksyen 18,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah berkenaan pengukuran tanah penduduk kampung di kawasan Serembu di Dewan Serbaguna Kampung Skio Bau pada Isnin.

Ujar Miro lagi, inisiatif tersebut juga merupakan hasil daripada sejak tiga tahun sebelum ini dengan usahasama penubuhan ‘Task Force Land’ di setiap kampung dan seterusnya memulakan inisiatif dibawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

 “Apa yang kita lakukan selama tiga tahun kebelakangan ini nampaknya telah membuahkan hasil.

“Kita telah membuat ‘follow up’, berbincang, mengadakan begitu banyak dialog dan sebagainya berkenaan dengan pengukuran tanah-tanah NCR di Kawasan DUN Serembu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Dan kita dapat melihat sekarang apa yang kita buat selama ini dengan penubuhan ‘Task Force Land’ di setiap kampung dan seterusnya memulakan inisiatif dibawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dengan semuanya ini kita telah gabungkan dan membuahkan hasil,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih terutama sekali kepada kepimpinan DBNA yang telah berusaha membantu masyarakat Bidayuh di kawasan luar bandar untuk mendapatkan geran-geran tanah mereka.

Tambahnya, beliau berharap setiap permohonan yang dibawa oleh DBNA dapat dikemukakan kepada pihak atasan supaya lebih banyak lagi tanah di kawasan milik orang Bidayuh dapat diukur dan geran tanah dapat dikeluarkan.

Pengukuran tanah Kampung Skio yang meliputi keluasan tanah 1,600 hektar itu adalah membabitkan kerja-kerja pengukuran perimeter, tanah hak adat bumiputera untuk tanah pertanian dan pengukuran kampung tradisi.-EDISI UKAS

Share

add comment