Pusat Perubatan Timberland Dilantik Sebagai PPV Hospital Swasta

SELASA, 25 MEI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif bagi menambah fasiliti untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat melalui hospital swasta.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan, Pusat Perubatan Timberland adalah salah satu daripada hospital swasta yang terpilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menambah jumlah vaksinasi khasnya bagi rakyat Sarawak.

“Setakat ini di Sarawak telah meluluskan 42 ‘General Practitioners’ (GP) daripada klinik swasta dan tujuh daripada hospital swasta,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Timberland di sini pada Selasa.

Turut mengiringi rombongan Datuk Amar Douglas Uggah ialah Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak amat berpuas hati dengan pengurusan PPV itu dan setakat ini pemberian vaksin adalah kira-kira 200 dos dalam sehari.

“Di Kuching kita mempunyai hampir setengah juta yang berumur 18 tahun ke atas telah layak menerima vaksin.

“Jadi ini adalah cabaran untuk kami bagi memastikan mereka yang berkelayakan mendapat vaksinasi,” katanya.

Selain itu, Pengurus Kanan Operasi Pusat Perubatan Timberland, Lau Kim Lim berkata, penerima vaksin diminta hadir setengah jam awal sebelum temu janji mereka bagi mengelakkan kesesakan.

“Saya menyarankan kepada semua agar patuh kepada pengurusan temu janji yang ditetapkan supaya kita dapat mengawal kesesakan penerima vaksin dalam satu masa,” ujarnya. –EDISI UKAS

Share

add comment