Warga Emas Di Miri Boleh Membuat Tempahan Vaksin Astrazeneca 2.0 Menerusi Laman Web

SELASA, 25 MEI 2021

MIRI: Pasukan Bertindak Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) telah membuka pendaftaran tempahan vaksin Astrazaneca hanya untuk warga emas 60 tahun dan ke atas bagi 5 negeri yang dipilih yang telah bermula pada 23 Mei hingga 26 Mei 2021. 

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, pendaftaran itu turut dibuka kepada warga emas di Sarawak. 

“Tempahan ini dibuka untuk warga emas yang berminat untuk mendapatkan vaksin Astrazaneca mengikut masa dan lokasi yang dipilih oleh penerima vaksin melalui platform tempahan : Laman Web www.vaksincovid.gov.my,” katanya semasa ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (Institusi Swasta), Hospital Columbia Asia Miri pada Selasa. 

Sehubungan itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memohon kerjasama orang ramai agar mendaftar  diri dengan segera melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Sesiapa yang belum daftar sila daftar secepat mungkin untuk vaksinasi. Ini adalah penting. 

“Jika tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tiada akses kepada internet, sila berdaftar dengan Pejabat-Pejabat Daerah melalui Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah, melalui Jawatankuasa Penduduk (RC) seperti Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi dan mendaftar di Klinik Kesihatan yang berdekatan bagi kawasan pedalaman sahaja,” ujarnya. 

Lawatan itu turut disertai Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P Raviwharmman, wakil Pejabat Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang dan Pengurus Besar Wilayah Hospital Columbia Asia Dr. Yeoh Kim Looi dan Ketua Perkhidmaatn Kesihatan Konsultan Obstetrician & Gynaecologis. -EDISI UKAS

Share

add comment