556 Orang Penduduk Di Kampung Tebakang Melayu Jalani ACD

26 MEI 2021

SERIAN: Seramai 556 orang penduduk di Kampung Tebakang Melayu telah menjalani pengesanan kes secara aktif (ACD) di Dewan Serbaguna kampung tersebut.

Kaedah pengesanan adalah terbahagi kepada dua zon iaitu Zon Hulu Tengah Selatan dan Zon Riih.

Bagi penerima yang telah menjalani saringan akan membuat kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah masing-masing bermula 24 Mei 2021 sehingga 6 Jun 2021.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus semasa dihubungi turut menasihati semua penduduk kampung tersebut agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan samada berada di rumah mahupun berada di luar rumah.

Selain memberi nasihat, beliau juga menzahirkan rasa berpuas hati dengan cara pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Serian dalam menangani kes Covid-19 di kampung Tebakang Melayu .

Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian juga telah membuka kaunter pengagihan bantuan makanan kering kepada mereka yang telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Kaunter itu dibuka ditempat menjalani ujian dan termasuk di Klinik berdekatan seperti di Klinik Tebakang, Tarat, Tebedu, Balai Ringin dan Siburan.

Setiap mereka yang menerima arahan kuarantin akan diberi kupon yang perlu ditebuskan di kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian. –EDISI UKAS

Share

add comment