Kerja Pembaikan Sistem Perparitan Di Kampung Semeba Akan Segera Dilakukan

RABU, 26 MEI 2021

KUCHING: Penduduk Kampung Semeba bakal menarik nafas lega apabila masalah sistem perparitan yang mengakibatkan tanah runtuh di kawasan itu akan diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang memberitahu, keputusan telah dibuat untuk menaik taraf parit dan membina benteng dengan menggunakan peruntukan di bawah projek RTP dan pembersihan perparitan di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.

“Saya telah menerima aduan daripada penduduk Kampung Semeba mengenai masalah sistem perparitan di kawasan kediaman mereka yang mengakibatkan tanah terhakis dan mengalami tanah runtuh.

“Hal tersebut membuatkan penduduk bimbang kerana ia akan menjejaskan keselamatan dan harta benda mereka,” katanya semasa meninjau masalah tersebut bersama Pegawai DID, Bong Lai Hong dan Ketua Kampung Thomas Gown pada Isnin.

Sementara itu, penduduk setempat amat berpuas hati dengan keputusan tersebut dan berterima kasih kepada ADUN Batu Kitang membantu menyelesaikan masalah mereka.-EDISI UKAS

Share

add comment