SABERKAS Serah Bantuan Makanan Kepada 23 Keluarga Di Blok E, Flat Pine, Tatau

RABU, 26 MEI 2021

TATAU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan DUN Kakus telah menyampaikan bantuan makanan berupa sayur-sayuran kepada penduduk di Blok E, Flat Pine, Tatau yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Blok E, Flat Pine telah dikenakan PKPD sejak 22 Mei lepas bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di kawasan tersebut. 

Menurut Pengerusi SABERKAS Cawangan DUN Kakus Mohammad Rizal Julaihi, sumbangan ini salah satu program kebajikan yang telah dilaksanakan di seluruh Sarawak. 

“Program SABERKAS Prihatin adalah salah satu program kebajikan yang telah dilaksanakan di seluruh cawangan SABERKAS di Sarawak.

“Ianya mula diadakan pada tahun ini dengan peruntukan disalurkan SABERKAS Ibu Pejabat ke cawangan masing-masing.

“Bantuan ini memfokuskan beberapa bantuan kebajikan untuk golongan yang memerlukan contohnya yang terjejas dengan pandemik COVID-19, rumah terbakar, bencana alam dan sebagainya,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut pada Rabu. 

Hadir sama Naib Pengerusi  SABERKAS Cawangan DUN Kakus Tan Mong Howe, Setiausaha SABERKAS Cawangan DUN Kakus Hamzariah Hamdan dan AJK SABERKAS Cawangan DUN Kakus Rosmawati. -EDISI UKAS

Share

add comment