Tidak Patuh SOP, Enam Individu Dikompaun

RABU, 26 MEI 2021

KUCHING: Enam individu telah dikompaun selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di beberapa pasar basah dan pusat membeli belah di sekitar bandar raya ini pada Rabu.

Kompaun tersebut telah dikeluarkan menerusi operasi bersepadu yang dilakukan oleh para petugas dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bersama Majlis Bandaraya Kuching (MBKS).

Pegawai Kesihatan Persekitaran Billy Sujang yang mengetuai operasi tersebut mengakui terdapat banyak kekurangan yang dikesan di beberapa pasar basah dan pusat membeli belah di sini.

Menurut beliau, enam individu terbabit telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 ekoran melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, diskaun 50 peratus akan diberikan bagi individu yang membuat pembayaran dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus lagi bagi bayaran tempoh 14 hari.

“Operasi yang dilakukan mendapati rata-rata pemilik premis dan peniaga di pasar basah tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Malah terdapat para peniaga tidak mengimbas kod MySejahtera dan penggunaan buku rekod secara manual tidak lengkap,” ujarnya ketika ditemui UKAS pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus patuh dengan pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Langkah itu penting katanya, ia susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat sekaligus membendung penularan wabak tersebut. –EDISI UKAS

Share

add comment