Bekalan Tambahan Vaksin Sinovac Tiba Di Kuching

KHAMIS, 27 MEI 2021

KUCHING: Sarawak menerima bekalan vaksin COVID-19 jenis Sinovac pada Rabu untuk menambah bekalan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian kemudian menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat bagi memastikan vaksin tersebut tiba tepat pada waktu untuk rakyat Sarawak yang dijadualkan menerima vaksin pada 28 Mei ini.

“Terima kasih banyak kepada semua yang bekerja sepanjang masa pada minit terakhir untuk vaksin tiba tepat pada waktunya khusus buat rakyat Sarawak yang dijadualkan menerima vaksin pada 28 Mei 2021,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya pada Rabu.

Beliau yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  turut memberitahu, rakyat perlu divaksinasi dengan cepat mengikut kelulusan yang telah diberikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memandangkan situasi COVID-19 di negeri ini semakin membimbangkan.

“Memandangkan varian Afrika Selatan telah mendarat di Sarawak baru-baru ini dan peningkatan kes menunjukkan Sarawak tidak begitu berjaya dalam melandaikan lekuk, kita perlu melakukan vaksinasi dengan cepat,”ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya beliau juga berharap untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mempercepat meningkatkan jumlah penghantaran vaksin ke Sarawak.

Ujar Dato Sri Dr Sim lagi, Kerajaan Negeri yakin bahawa semua rakyat Sarawak yang layak, dapat dilengkapkan dengan vaksin menjelang Ogos melainkan terdapat gangguan bekalan.-EDISI UKAS