Nelayan Vietnam Rompak Hasil Laut Berjumlah Satu Tan Ikan Ditahan

KHAMIS, 27 MEI 2021

KUCHING: Sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang leka merompak hasil laut negara pada jarak lebih kurang 100 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching, sekitar jam 4.45 pagi pada Selasa telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak pada Selasa. 

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dalam satu kenyataan media pada Rabu berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing Vietnam di perairan Sarawak. 

“Maritim Negeri Sarawak telah melakukan pemantauan rapi di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan bot nelayan asing dan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan telah cuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguat kuasa.

“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya. 

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. 

Tambah Laksamana Pertama Maritim Zin Azman lagi, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara. 

“Manakala enam kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” tambahnya.

Kesemua enam kru termasuk tekong dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching untuk siasatan lanjut, manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 7000 liter serta hasil tangkapan sekitar satu tan metrik ikan campur dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta. 

Sehingga kini, Maritim Negeri Sarawak telah berjaya melakukan lebih kurang 5000 pemeriksaan ke atas pelbagai vesel dan telah melakukan lima tangkapan ke atas bot nelayan asing yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985/ Akta Imigresen 1959/63. 

Selain itu, turut merekodkan 25 kes tangkapan ke atas bot nelayan tempatan serta vesel atas pelbagai kesalahan di perairan negeri Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment