NSJA Agih Pelitup Muka Dan Pembersih Tangan Kepada Ahlinya

KHAMIS, 27 MEI 2021

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah mengedarkan 176 kota pelitup muka dan 88 botol 100ml pembersih tangan dan ‘mask keeper’ kepada setiap ahlinya berdaftar melalui syarikat media masing-masing.

Presiden NSJ Andy Jong Wan Joon dalam kenyataan media pada Khamis berkata, setiap ahli dan pengamal media di Miri akan menerima dua kotak (100 keping) pelitup muka, sebotol pembersih tangan 100ml dan dua keping penyimpan pelitup muka .

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha persatuan untuk memastikan setiap ahli dan wartawan yang juga sebagai barisan hadapan mendapat perlindungan yang sewajarnya ketika mereka menjalankan tugas sepanjang situasi COVID-19.

“Selain itu, ia merupakan salah satu manfaat yang diberikan kepada ahli oleh Persatuan Wartawan Utara Sarawak sempena Hari Wartawan Nasional Malaysia (HAWANA) pada 29 Mei akan datang.

“Para media juga adalah petugas barisan hadapan kerana perlu mendapat maklumat untuk menulis laporan yang sahih dan tepat berkaitan perkembangan terkini situasi COVID-19 dalam negara,” katanya.

Tambah Andy Jong lagi, peranan media memainkan peranan penting mengenai situasi laporan COVID-19 agar tidak berlaku suasana panik akibat penyebaran berita yang palsu di laman sosial.

“Rakan media juga berhadapan dengan risiko jangkitan ketika mereka menjalankan tugas di lapangan untuk mendapat berita yang sahih sebelum disebar kepada pembaca.

“Justeru, para media disarankan untuk mengambil tindakan pencegahan serta menjaga diri sendiri dari ancaman wabak krisis pandemik COVID-19,” tambahnya. 

Pada masa sama, beliau mengajak masyarakat untuk bersama-sama membudayakan norma baharu dan setiasa mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Begitu juga media disarankan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dalam menjalankan tugas. -EDISI UKAS

Share

add comment