KHAMIS, 27 MEI 2021
MIRI: Banjir yang berlaku di kawasan Baram merupakan yang terburuk pernah berlaku sehingga menyebabkan kediaman penduduk terjejas dan kemusnahan kemudahan awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengucapkan terima kasih di atas sumbangan barangan keperluan asas daripada para penderma yang terdiri dari organisasi korporat dan orang awam melalui Kuching Food Aid (KFA).
Menurutnya, Persatuan Belia Miri (PBM) merupakan penggerak agihan berkenaan di bawah cawangan KFA iaitu Miri Food Aid.
“Kita cukup berterima kasih kepada para penderma yang begitu prihatin dengan nasib rakyat kita.
“Kalau kita tengok dari segi bilangan yang terjejas, kita tidak dapat menyediakan sebanyak itu, tetapi dengan sentuhan macam ini sudah cukup menaik semangat masyarakat kita.
“Sebagai wakil rakyat DUN Telang Usan saya mengucapkan sekali lagi terima kasih kepada para penderma yang memberi respon cepat sekali membantu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan penyerahan sumbangan barangan asas kepada mangsa banjir di Kampung Wireless pada Khamis.
Sebanyak empat tan makanan akan diagihkan kepada 393 pintu rumah panjang di Kampung Long Kasseh, Long Nakan dan Long Loteng bermula Khamis dan Jumaat.
Tambah Dennis lagi, senarai rumah dan kemudahan awam yang rosak telah diajukan kepada Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu akan berbincang dengan Pegawai Daerah Telang Usan bagi membuat perancangan masa depan khususnya dalam menghadapi kejadian banjir seperti yang berlaku baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi PBM, Matassan Rohani dan Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Dominik Nyurang Ajang. -EDISI UKAS