Rujuk Terus Kepada JPBB Bintulu Sekiranya Terdapat Kemusyilan Mengenai SOP PKPB

KHAMIS, 27 MEI 2021

BINTULU: Kebelakangan ini banyak aduan yang diterima mengenai kekeliruan orang ramai terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Bahagian Bintulu yang tular di media sosial dan aplikasi whatsapp sehingga menimbulkan keresahan dan salah faham di kalangan masyarakat.

Dalam kenyataan media bersama Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu yang juga Menteri Utiliti Sarawak Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Datuk Talib Zulpilip pada Khamis berkata orang ramai disaran merujuk terus kepada JPBB Bintulu dan sumber rasmi Kerajaan Sarawak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

“Orang ramai adalah disarankan untuk merujuk terus kepada pihak Jawatankuasa Bencana Bahagian Bintulu di talian 086-339017 sekiranya terdapat kemusykilan mengenai SOP terkini dan juga dengan merujuk sumber media rasmi Kerajaan Sarawak iaitu menerusi laman web dan laman Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) untuk mendapatkan info yang terkini dan sahih,” katanya. 

Tambah kenyataan bersama itu, orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu sumber berita sebelum mempercayai sebarang infomasi atau maklumat baharu.

“Pastikan kita tidak menyebarkan berita yang belum ditentukan kesahihannya kerana ia nya belum rasmi dan belum diluluskan atau pun dibimbangi palsu dan mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai. 

“Pastikan juga berita-berita tersebut adalah daripada sumber yang sahih dan sah,” tambahnya. 

Orang ramai diminta untuk terus berganding bahu memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi SOP dan memainkan peranan penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID 19 ini. -EDISI UKAS

Share

add comment