1,250 Penduduk Kampung Sindang Baru Jalani PKPD

JUMAAT, 28 MEI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,250 penduduk yang melibatkan 240 keluarga di Kampung Sindang Baru menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Mei hingga 10 Jun 2021.

Ia susulan pegumuman oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada Khamis setelah dilaporkan kejadian kes COVID-19 jangkitan tempatan yang meningkat termasuk beberapa kes ‘sporadik’(rawak).

Sebanyak 11 kes direkodkan pada 26 Mei lepas dalam kalangan komuniti yang dikesan berikutan pergerakan sosial di dalam kampung termasuk menziarah sesama jiran serta aktiviti menziarah semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Hasil tinjauan mendapati sebanyak tiga buah khemah telah didirikan bagi tujuan sekatan supaya penduduk tidak keluar dari kediaman mereka manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan kampung tersebut.

Tinjauan pada hari pertama PKPD di kampung tersebut mendapati keadaan terkawal di mana pergerakan penduduk dilihat berkurangan dan masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan, Anuar Da’an ketika dihubungi menasihatkan penduduk kampung untuk sentiasa mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Penduduk Kampung Kampung Sindang Baru yang menjalani menjalani PKPD ini dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan SOP yang telah ditetapkan dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan sepanjang tempoh itu sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19,”katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment