KMKK Berperanan Penting Laksana SOP Gawai Di Rumah Panjang Masing-Masing

JUMAAT, 28 MEI 2021

LIMBANG: Satu taklimat khas berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sambutan Hari Gawai 2021 telah dianjurkan Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) Pampang Limbang dengan kerjasama Pejabat Residen Limbang dan Gerempung Tuai-Tuai Rumah Iban Limbang (GETTIL).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, penganjuran taklimat khas ini adalah untuk memberikan penerangan terperinci kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berhubung dengan garis panduan SOP yang harus dipatuhi sempena sambutan Hari Gawai 2021.

“Saya ingin menyeru supaya ahli-ahli keluarga yang mendiami zon-zon lain terutamanya daripada zon merah supaya tidak balik ke rumah panjang masing-masing kerana kita tidak mengetahui sama ada kita ini bebas daripada COVID-19 ataupun sebaliknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mendengar Taklimat Penerangan SOP Sambutan Hari Gawai 2021 di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Khamis.  

Taklimat khas ini dilaksanakan menerusi tiga sesi yang melibatkan 60 orang KMKK dari Daerah Limbang. 

Dalam pada itu, Paulus turut menggesa semua pihak berwaspada dan mengambil langkah yang bijak untuk mematuhi SOP bagi mengelak wujudnya kluster baru Gawai.

Hadir sama imbalan Residen Limbang Sebi Abang, Pegawai Tadbir, Pejabat Residen Limbang Elizabeth Bujang, Pengerusi GETTIL Temenggong Willie Merum Liaw, Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jerry Saraie dan Ketua Masyarakat Iban Limbang Pemanca Robert Kunyu Anggau. -EDISI UKAS

Share

add comment