JUMAAT, 28 MEI 2021
MIRI: Sebanyak 2,371 premis telah diperiksa dan 13 kompaun telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, daripada jumlah itu 112 buah pasaraya, 1,955 premis makanan, 52 pusat penjaja, 171 lain-lain (premis perniagaan) serta 81 penjaja.
“Seksyen Penguatkuasa MBM) telah mengeluarkan sebanyak enam kompaun di bawah perundangan Protection of Public Health Ordinance, 1999 (PPHO) bagi tempoh tersebut.
“Kompaun tersebut ialah terhadap pemilik premis Good Fate Enterprise di atas kesalahan pelanggaran SOP iaitu tidak menyediakan buku log pelanggan dandua kompaun terhadap dua pemilik premis iaitu Puma Sera Restaurant (tidak memakai pelitup muka di tempat awam) dan Aroi Mak Cuisine (tidak memakai pelitup muka di tempat awam).
“Kompaun terhadap tiga pemilik premis iaitu Scorpio Auto Car Accessories, dan Kopitiam Kingdom Sdn Bhd (JJ Cafe) di atas beroperasi lebih daripada masa ditetapkan dan satu tindakan sitaan terhadap illegal extension di dalam Pasar Besar Krokop 10,” katanya.
Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut memberitahu Pejabat Kesihatan Bahagian Miri melaporkan bagi tempoh 1 hingga 27 Mei 2021, tujuh kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP PKPB.
“Antara mereka yang dikenakan kompaun ialah seorang guru besar di sebuah sekolah rendah yang mencetus Kluster Long Jegan, satu kompaun ke atas pegawai di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Miri, dua kompaun di Rumah Libau, Subis melibatkan satu kompaun ke atas Tuai Rumah dan satu kompaun ke atas penganjur majlis pengebumian,.
“Turut dikenakan kompaun ialah penganjur majlis sambutan hari jadi yang mencetus Kluster Jalan Lilin, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Firdaus yang mencetus Kluster Jalan Limbang Miri dan satu kompaun ke atas penganjur aktiviti sosial makan beramai-ramai yang menyebabkan wujudnya Kluster Jalan Dato Permaisuri,” ujarnya.
Dalama pada itu, JPBB Miri sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek SOP pencegahan COVID-19 secara ketat. -EDISI UKAS