Patuh SOP Semasa Sambutan Hari Gawai Dayak Tahun Ini

JUMAAT, 28 MEI 2021

SRI AMAN: Masyarakat di rumah panjang dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Sarawak semasa sambutan Hari Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman Indit Bangai berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hanya membenarkan sambutan hari gawai selama satu hari sahaja pada tahun ini iaitu pada 1 Jun dengan keluarga sebilik sahaja.

“Pematuhan kepada SOP ini amat penting bagi kita untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti khususnya di kawasan pendalaman.

“Masyarakat dapat membantu pihak kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya semasa memantau pematuhan SOP di beberapa rumah panjang di Bahagian Sri Aman pada Jumaat.  

Pemantauan SOP berhubung dengan sambutan Hari Gawai itu telah dilaksanakan oleh pihak JPBB Sri Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dan IPD Lubok Antu.

Sepanjang pemantauan dijalankan, penduduk didapati mematuhi SOP dan mereka peka kepada arahan terkini pihak JPBNS.

Dalam Pada itu, Indit Bangai turut menyerahkan poster SOP bagi sambutan Hari Gawai daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) kepada tuai rumah-tuai rumah untuk dipamerkan di kawasan rumah panjang masing-masing.-EDISI UKAS

Share

add comment