Patuhi SOP Gawai, Elak Wujudnya Kluster Gawai

JUMAAT, 28 MEI 2021

MIRI: Aktiviti berziarah pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini telah menyebabkan penularan wabak COVID-19 sehingga mewujudkan pelbagai kluster baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, untuk mengelak kejadian penularan COVID-19 dalam komuniti sempena musim perayaan, masyarakat Dayak harus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Gawai yang ditetapkan bagi mengelak wujudnya Kluster Gawai. 

“Musim raya ini sukar untuk kita menyuruh orang tidak berziarah. Sambutan Hari Raya hanya sehari pun ramai orang berjalan dan melakukan ziarah. 

“Begitu juga sambutan hari Gawai yang disambut sehari sahaja. Sekiranya boleh, janganlah melakukan aktiviti ziarah dan hanya menyambutnya di rumah sahaja. 

“Kita tidak mahu ada wujudnya kluster-kluster baru. Sebab, kalau kita di rumah panjang sekiranya satu pintu kena COVID-19 membolehkan semua pintu terkena jangkitan itu. 

“Saya harap kita sama-sama berjaga-jaga supaya kita dijauhi penyakit COVID-19,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung (Zon Subis) Kawasan DUN Lambir di Dewan Kampung Keluru Tengah pada Khamis. 

Sebanyak 49 JKKK dari Zon Miri dan Zon Subis menerima cek dengan setiap JKKK menerima cek berjumlah RM5,000 dan Biro Wanita menerima RM2,000. 

Dalam pada itu, Ripin turut mengingatkan setiap JKKK untuk pastikan akaun JKKK aktif bagi membolehkan nilai cek tersebut dapat dimasukkan ke dalam akaun dan segera dimasukkan ke dalam bank bagi mengelak keciciran dan hilang. 

Terdahulu, majlis yang sama turut diadakan di Pusat Khidmat DUN Lambir bagi penyerahan Cek JKKK Kampung (Zon Miri) Kawasan DUN Lambir. -EDISI UKAS

Share

add comment