PDRM Miri Lancar OP Gawai Bermula 28 Mei Hingga 2 Jun 2021

JUMAAT, 28 MEI 2021

MIRI: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Miri akan melancarkan OP Gawai bermula pada 28 Mei sehingga 2 Jun 2021 di seluruh Daerah Miri termasuk Bekenu dan Batu Niah. 

Menerusi hantaran di laman Facebook PDRM CID Miri, fokus utama OP Gawai adalah memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 Hari Gawai dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat tempatan bagi membendung penularan wabak COVID-19 semasa musim perayaan. 

PDRM Miri juga akan memfokuskan kepada kes pecah rumah, lumba haram, insiden kekerasan dan pergaduhan yang kerap berlaku semasa sambutan perayaan. 

Beberapa kawasan tumpuan telah dikenal pasti antaranya kawasan Permyjaya, Tudan, Senadin, Taman Tunku, kawasan perkampungan Bekenu dan Batu Niah.  

Sehubungan itu, masyarakat Miri adalah dinasihatkan untuk mematuhi SOP COVID-19 yang telah dikeluarkan kerajaan dan menjaga tingkahlaku semasa menyambut perayaan ini. 

Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa. -EDISI UKAS

Share

add comment