Rumah Cherida Model Rumah Panjang Terbaik Dalam Pencegahan Wabak Covid-19

JUMAAT, 28 MEI 2021

BINTANGOR: Rumah Panjang Cherida yang terletak di Sungai Mador Bintangor telah dipilih sebagai wakil untuk kategori luar bandar yang akan mengambil bahagian dalam pencalonan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 di Sarawak.

Menurut Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, pemilihan Rumah Cherida telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebagai model terbaik rumah panjang dalam mencegah dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada penghujung April lepas telah mengumumkan bahawa pertandingan itu akan dihoskan oleh Badan Pengurusan Bencana Alam Nasional (Nadma) dan di bawah pengawasan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Menurutnya, Kerajaan juga menaja hadiah berjumlah RM1.7 juta ringgit di mana komuniti yang menang dipilih dari 14 komuniti bandar dan 20 dari luar bandar akan menerima projek pembangunan bernilai RM50,000.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan mengenai pencalonan Rumah Cherida di rumah panjang berkenaan pada Jumaat.

“Selama penutupan selama dua minggu, penduduk Rumah Panjang Cherida telah memberikan contoh yang terbaik dalam pematuhan arahan SOP dan tidak meningkatkan jumlah kes dalam tempoh 14 hari kuarantin.

“Semasa siasatan, didapati rumah panjang berkenaan mengikuti SOP dengan ketat untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Malah, dalam tempoh masa tersebut, penduduk tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pengkebumian rumah panjang lain,” katanya. – EDISI UKAS