Sarawak Bakal Jadi Negeri Pertama Lengkapkan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan

JUMAAT, 28 MEI 2021

KUCHING: Sarawak akan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan melengkapkan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, Sarawak bakal mencapai sasaran untuk melengkapkan Program Vaksinasi  COVID-19 Kebangsaan menjelang Ogos tahun ini.

Menurut beliau, Sarawak akan menerima vaksin sepenuhnya untuk kira-kira 2.2 juta penduduknya pada penghujung Ogos tahun ini sekaligus menyelesaikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini.

“Pembekalan vaksin berskala besar akan bermula pada minggu pertama bulan Jun dengan anggaran 380,000 dos akan dihantar ke negeri Sarawak setiap minggu sehingga mencapai 4.4 juta dos pada akhir bulan Ogos,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Pasukan Bertindak Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan dan CITF Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.

Terdahulu beliau telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Open di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah menyampaikan jaminan kerajaan persekutuan menyalurkan bekalan vaksin sepenuhnya kepada Sarawak.

Dalam pada itu, Khairy menambah, sebanyak 45,000 suntikan vaksin setiap hari mesti dilakukan bagi mempercepat dan melengkapkan proses vaksinasi tersebut bagi seluruh rakyat Sarawak.

Tegas beliau, usaha mempercepatkan proses vaksinasi di Sarawak adalah khususnya bagi keperluan undang-undang dan isu kesihatan awam.

“Ini bukan perkara politik tetapi ianya adalah syarat undang-undang dan juga isu kesihatan awam.

“Saya ingin menjelaskan bahawa seperti yang telah diumumkan sekiranya darurat berakhir pada 1 Ogos, maka berdasarkan undang-undang, Sarawak perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam masa 60 hari.

“Jika Sarawak tidak diberi vaksin sepenuhnya, menjelang pilihan raya negeri nanti bukan hanya Sarawak tetapi seluruh negara Malaysia menghadapi risiko gelombang wabak COVID-19 dan kita tidak mahu ianya terjadi,”tegas beliau lagi.

Selain itu, Khairy juga memaklumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri akan ditubuhkan di kawasan perindustrian, kilang dan perladangan secara ‘in situ’ bagi memudahkan pekerja mendapatkan vaksinasi.

“PPV Industri ini akan dibuka secara ‘in situ’ ataupun di tempat industri sama ada di tempat kilang atau perladangan.

“Ini bagi memudahkan pekerja-pekerja tidak perlu ke PPV awam yang lain,”ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment