Ahli Parlimen Tanjong Manis Sumbang PPE Kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei

SABTU, 29 MEI 2021

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab pada Sabtu telah menyerahkan sumbangan set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk digunakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei.

Sumbangan berupa 40 kotak pelitup hidung dan mulut, 20 kotak sarung tangan dan 30 botol pembersih tangan itu diserahkan dalam majlis ringkas bertempat di Dewan Suarah Sarikei.

Ir Yusuf turut meninjau petugas barisan hadapan yang bertugas dan beramah mesra dengan penerima-penerima vaksin.

Sumbangan set PPE turut diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah (ADO) Pejabat Daerah Tanjung Manis, Saifulbahry Alwie pada 28 Mei 2021.

Berikutan kes yang semakin meningkat dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKK) seluruh Sarawak, Ir Yusuf menyeru dan menasihatkan orang ramai agar mematuhi semua SOP yang dikeluarkan.

Tegasnya, rantaian penularan Covid-19 hanya dapat diputuskan jika semua pihak turut sama memainkan peranan mematuhi semua peraturan yang dilaksanakan. – EDISI UKAS

Share

add comment