Elak Jadikan Sambutan Hari Gawai Penyebar Jangkitan Covid-19

SABTU, 29 MEI 2021

MUKAH: Ketua masyarakat dan tuai rumah panjang di sekitar Mukah perlu lebih proaktif dalam memastikan anak-anak buah di bawah seliaan mereka kekal mematuhi garis panduan (SOP) semasa sambutan Hari Gawai.

Ini penting bagi mengelak sambutan Hari Gawai menjadi medan penyebaran Covid-19 disebabkan ketidakpatuhan masyarakat terhadap SOP ditetapkan.

Perkara tersebut menjadi intipati utama Program Community Empowerment Pejabat Daerah Mukah yang diadakan pada Khamis di Rumah Peter Kanyup, Setejuk, Kuala Balingian.

Program tersebut dijayakan Pejabat Daerah Mukah, PDRM, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, Jabatan Penerangan Daerah Mukah dan komuniti setempat bertujuan memastikan rakyat kekal peka dan waspada terhadap pandemik Covid-19.

Turut diperjelaskan mengenai kompaun-kompaun yang boleh dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan dalam SOP yang diwartakan.

Ia termasuk penjelasan mengenai norma-norma baru yang telah dikemaskini oleh Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) dan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

Bahan Kempen Kesedaran Covid-19 seperti Brosur turut diedarkan ke rumah panjang di sekitar Sebakong selain hebahan menggunakan alat siaraya oleh Jabatan Penerangan melalui inisiatif ‘Info On Wheel’.

Sementara itu, program sama akan diteruskan di beberapa lagi rumah panjang lain iaitu Rh Langi Telajan, Rh Latip Unting, Rh Patrick Sandin Tampang, Rh Janin Anting, Rh Gelega Uba, Rh Nuwie Seleyu, Rh Jugah Unchat, Rh Helena Harry Seruji, Rh Kalang Mada@Madak, Rh Bau Lumpoh dan Rh Seliau Randi. – EDISI UKAS

Share

add comment