Elak Pembelian Panik, Sama Main Peranan Kekang Penularan Covid-19

SABTU, 29 MEI 2021

MUKAH: Orang ramai di Mukah dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Negeri bermula hari ini hingga 11 Jun depan.

Menurut Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, pembelian panik dikhuatiri akan menyebabkan penularan wabak Covid-19 kerana orang ramai bersesak-sesak di pasar raya untuk membeli barangan harian.

Tegasnya, sekiranya kes meningkat, petugas kesihatan tidak dapat menumpu kepada pemberian vaksin kerana terpaksa memfokuskan kepada menjejaki kontak kes positif dan rutin rawatan bagi kes pesakit Covid-19.

“Ianya satu pembaziran masa, tenaga, malah beri impak kepada masyarakat itu sendiri kelak.

“Secara tidak langsung, akan menjejaskan operasi pemberian vaksin yang telah dirancang yang mana matlamat 2000 orang sehari akan terganggu.

“Jika sekiranya petugas tidak banyak terikat dengan ACD, PKRC dan QC, maka petugas kesihatan dapat memberi tumpuan sebagaimana perancangan untuk pembukaan Klinik Kesihatan Balingian, Klinik Kesihatan Igan dan Klinik Kesihatan Betanak sebagai Pusat Penerimaan Vaksin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana terus memainkan peranan dalam memastikan pematuhan SOP di kalangan rakyat diperketatkan demi membendung penularan pandemik itu dari terus merebak khususnya di Mukah.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata sepasukan task force dari Balai Polis Mukah yang diketuai oleh KPB Mukah telah bergerak ke pasaraya utama di Mukah pada Jumaat bagi melakukan pemantauan bersama pasukan pemantau KPDNHEP Bahagian Mukah. – EDISI UKAS

Share

add comment