GPS Perkenal Langkah Terbaik Ringankan Beban Rakyat Melalui BKSS 6.0

SABTU, 29 MEI 2021

KUCHING : Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi kenyataannya amat memuji inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bernilai RM1.4 bilion bagi meneruskan kelangsungan bantuan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa hari ini, sehingga 11 Jun 2021.

Tambah kenyataan itu, inisiatif berkenaan jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memikirkan langkah-langkah yang terbaik untuk meringankan beban seluruh rakyat Sarawak disamping mengambil kira keperluan pelbagai pihak ketika berdepan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Sidang Media Khas pada Jumaat telah mengumumkan 15 langkah menerusi pakej bantuan berkenaan yang mana merangkumi pembayaran tunai dan pemberian diskaun.

Bantuan yang diberikan akan memberi manfaat kepada golongan B40; anggota barisan hadapan; pengamal media barisan hadapan; para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar; pemilik dan pengendali penambang; pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar; pemandu perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dan pengajar sekolah memandu serta agensi pelancongan.

Selain itu, turut diperkenalkan langkah potongan harga kepada bil air dan elektrik, kadar penilaian dan penyewaan kepada penerima yang layak.

Dalam masa yang sama, 11 langkah dalam pakej BKSS 5.0 yang masih dalam pelaksanaan juga akan turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment