Kemaskini Nama-Nama Pelajar Yang Memerlukan Keperluan Sekolah

JUMAAT, 29 MEI 2021

MARUDI: Pengurusan sekolah perlu mengemaskini senarai nama pelajar yang memerlukan bantuan persekolahan termasuk juga kemudahan sekolah yang lain. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala berkata ini penting terutama pelajar di kawasan luar bandar dalam menikmati kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang baik.

“Kerajaan Sarawak senantiasa membantu pelajar yang kurang berkemampuan melalui pelbagai skim dan bantuan. 

“Yayasan Sarawak telah banyak membantu pelajar dengan memberikan bantuan bukan sahaja seperti pada hari ini iaitu kupon bantuan malah melalui biasiswa dan juga skim pinjaman,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Seragam Sekolah di Pejabat Daerah Marudi pada Jumaat. 

Sebanyak 182 keping kupon diserahkan Dato Gerawat kepada wakil Pegawai Pendidikan Daerah Marudi Azrul Abdullah untuk diagihkan kepada 13 buah sekolah di DUN Mulu dengan setiap penerima akan menerima kupon RM200 dalam bentuk kupon.

Tambah Dato Gerawat, kupon ini merupakan pemberian Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak bagi membantu pelajar-pelajar dari kawasan luar bandar membeli peralatan sekolah. -EDISI UKAS