SABTU, 29 MEI 2021
PAKAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Daerah Pakan disaran agar terus aktif dalam menyampaikan maklumat dan melaksanakan norma baharu cara kehidupan di rumah panjang sebagai langkah memutuskan jangkitan Covid-19.
Tegas ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, budaya kehidupan yang diamalkan di rumah panjang sebelum ini perlu diubah mengikut norma baru untuk mengurangkan jangkitan wabak itu di kawasan pedalaman.
Justeru katanya, sambutan Gawai Dayak pada tahun ini perlulah berlandaskan SOP yang diwartakan demi untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat di Pakan.
Semasa menyampaikan amanatnya dalam Bengkel Community Policing Pematuhan SOP PKPB Daerah Pakan pada Jumaat, Tan Sri Mawan turut menyeru masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin mengikut jadual ditetapkan.
Seramai 50 orang KMKK dari DUN Pakan menghadiri bengkel berkenaan yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Pakan bertujuan menerangkan SOP sambutan Hari Gawai di rumah-rumah panjang.
Pada bengkel itu, Tan Sri Mawan juga menyerahkan poster ‘Norma Baru Pengidup Ba Rumah Panjai’ kepada KMKK di Daerah Pakan untuk diedarkan kepada penduduk-penduduk di rumah panjang.
Bengkel tersebut merangkumi lima sesi taklimat yang disampaikan pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah Pakan, Pejabat Kesihatan Julau, Polis Diraja Malaysia Daerah Julau, Majlis Daerah Mearadong Julau dan RELA Daerah Julau. – EDISI UKAS