Patuhi SOP Dan Elak Penularan COVID-19 Semasa Musim Perayaan Gawai

SABTU, 29 MEI 2021

BINTULU: Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Komuniti Kepolisan di peringkat rumah panjang digesa memainkan peranan dalam memastikan semua penduduk rumah panjang tidak menziarahi antara satu sama lain pada perayaan Gawai yang akan disambut tidak lama lagi. 

Menurut Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, langkah seperti memasang tali penghadang untuk mengelak berkumpul sempena sambutan Gawai dan wujudnya Kluster Gawai pada musim perayaan ini. 

“Kita juga memaklumkan kepada JKKK dan Tuai Rumah supaya tidak ada lagi ziarah Gawai. 

“Sambutan Gawai kali ini dibuat dalam bilik sendiri dengan ahli keluarga yang terdekat ataupun pintu rumah panjang masing-masing. 

“Kita tidak mahu lagi kluster di Daerah Bintulu seperti yang kita dapati semasa hari Raya dan kita cuba mengurangkan lagi penularan kes COVID-19 di daerah Bintulu,” 

Katanya semasa ditemui dalam Program Pelancaran Operasi Pematuhan SOP Bahagian Bintulu Garis Panduan Sambutan Gawai Dayak di Rumah Galin Andam pada Jumaat. 

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga dengan penduduk rumah panjang yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menyediakan pelitup muka, pengimbas suhu, cecair pembasmi kuman dan mesin untuk sanitisi serta Mysejahtera dan buku rekod nama penduduk rumah panjang. 

Sementara itu, Penghulu Man Imbak ketika ditemui menyeru seluruh masyarakat Dayak mematuhi SOP Gawai seperti yang digariskan kerajaan kerana ini bukan menyusahkan sebaliknya menjaga kita didalam situasi pandemik supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Sekatan atau tali yang diletakan sebagai pengadang di ruai-ruai itu adalah tanda kita tidak boleh menziarahi saudara sebelah bilik kita. 

“PDRM dan Pejabat Daerah tidak dapat menjaga kita setiap masa, jadi kita perlu menjaga diri kita sendiri agar tidak dijangkiti oleh COVID-19. 

“Lebih baik mencegah daripada mengubati,” katanya. 

Justeru, pada Gawai tahun ini masyarakat Dayak menyambut perayaan Gawai dalam bilik dan pintu masing-masing. 

Hadir sama Pegawai Daerah Sebauh Mohd Irwan @ William Manggoi, Ketua Polis Daerah (KPD) Bintulu Supt Zulkipli Suhaili dan Timbalan KPD Bintulu DSP Dennis Bunyam. -EDISI UKAS

Share
0