Pembukaan Seksyen Pujut, WPC11 Projek Lebuhraya Pan Borneo Lancar, Beri Keselesaan Kepada Pengguna

SABTU, 29 MEI 2021

MIRI: Sejak dibuka kepada orang awam pada Februari awal tahun ini, keadaan trafik di Seksyen Pujut, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kini menjadi lebih lancar dan memberi keselesaan pemanduan kepada penggunanya.

Pengurus Pejabat Zon Utara, Unit Lebuhraya Pan Borneo (PBHU), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir Siaw Ming Chian memberitahu, bermula pembinaannya pada tahun 2016, seksyen laluan yang dibina sepanjang 16 kilometer itu merupakan salah satu daripada tiga Seksyen di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11) dan dua lagi seksyen di bawah pakej ini adalah Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir, yang masih lagi dalam proses pembinaan.

Di samping itu katanya, skop pembinaan di bawah Seksyen Pujut juga merangkumi pembinaan dua jejambat iaitu jejambat Lapangan Terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua buah jambatan, iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri.

“Kadar trafik yang tinggi memandangkan lokasi jajaran ini terletak berhampiran dengan bandar merupakan antara cabaran utama di dalam memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan dengan lancar tanpa mengabaikan keselesaan serta keselamatan pengguna dalam masa yang sama,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Manakala bagi kerja pembinaan berhampiran dengan Lapangan Terbang Miri pula, pihak kontraktor mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan memastikan kerja-kerja yang melibatkan pemasangan rasuk dan cerucuk hanya dibenar dilakukan pada sebelah malam.

Tambahnya lagi, pandemik COVID-19 banyak mempengaruhi kemajuan kerja-kerja pembinaan, terutamanya dari segi kekurangan bilangan tenaga kerja asing. -EDISI UKAS

Share
0