Penantian 10 Tahun Berakhir, Penduduk Rumah Dee Dan Rumah Adang Terima Wang Pampasan

JUMAAT, 29 MEI 2021

MARUDI: Penantian 10 tahun penduduk dari Rumah Dee dan Rumah Adang berakhir apabila Samling Corporation Sdn Bhd pada Jumaat bersetuju membayar pampasan kepada penduduk.

Penduduk Rumah Dee yang mempunyai 10 pintu dan Rumah Adang sebanyak 65 pintu akan menerima pampasan yang berjumlah RM450,000 dengan RM6,000 bagi setiap pintu. 

Simbolik penyerahan persetujuan ini telah diserahkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala kepada kedua-dua tuai rumah Dee dan Adang sebagai wakil penduduk dan disaksikan Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis dan Pemanca Randie Bundan pada Jumaat. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berharap penduduk di kedua-dua rumah panjang itu memanfaatkan peluang dan menggunakan wang pampasan ini dengan berhemah. 

Sementara itu, Norlia ketika ditemui berkata perbincangan di antara penduduk dengan Samling telah pun bermula pada tahun 2008. 

Sepanjang tempoh itu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat dan telah menarik perhatian Dato Gerawat pada tahun 2016 selepas menjadi ADUN Mulu. 

Perbincangan demi perbincangan telah diadakan bersama pengurusan tertinggi Syarikat Samling dan akhirnya penantian penduduk berakhir apabila syarikat itu bersetuju membayar wang pampasan. 

Dalam pada itu, Tuai Rumah Adang yang mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Pegawai Daerah Marudi dan ADUN Mulu kerana telah mendengar rintihan penduduk dan berusaha menyelesaikan permasalahan ini dengan jayanya. 

Hadir sama Ketua Unit Perkhidmatan Komuniti Syarikat Samling Sdn Bhd Stewart Paran Libut. -EDISI UKAS

Share
0