Program Community Empowerment Dalat Fokus Pematuhan SOP Hari Gawai

SABTU, 29 MEI 2021

DALAT: Program Community Empowerment diteruskan di Daerah Dalat dalam memberi kesedaran dan peringatan kepada penduduk terutama penghuni rumah panjang berkaitan SOP yang telah ditetapkan menjelang sambutan Hari Gawai.

Sebanyak lima agensi iaitu Pejabat Daerah Dalat, PDRM, Jabatan Kesihatan Daerah Dalat, Jabatan Penerangan Daerah Dalat dan UKAS menjayakan program tersebut yang diadakan di Dewan Sk St Luke Nanga Baoh Dalat pada Khamis.

Penekanan lebih tertumpu kepada memperingatkan tuai rumah dan penghulu agar sentiasa memantau pergerakan anak buah mereka dan mempastikan garis panduan (SOP) perayaan Hari Gawai dipatuhi.

Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan itu juga digesa memainkan peranan mempastikan penduduk rumah panjang mempraktikkan norma baharu dengan sentiasa menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Selain itu, KMKK juga perlu mempastikan anak-anak buah mereka yang layak untuk mendaftar program vaksinasi.

Ini termasuk memaklumkan kepada anak dan saudara mara yang berada di luar kawasan atau di bandar supaya tidak balik ke rumah panjang semasa perayaan kali ini untuk keselamatan bersama. – EDISI UKAS

Share

add comment