Rakyat Perlu Beri Kerjasama Putuskan Rantaian Penularan COVID-19

SABTU, 29 MEI 2021

LUNDU: Rakyat Sarawak yang akan menyambut perayaan Gawai Dayak pada minggu hadapan diingatkan untuk mengutamakan dan menjaga diri sendiri dahulu bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu menasihatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan diri daripada pergi ke tempat sesak.

“Selamat Hari Gawai kepada yang akan menyambut Hari Gawai minggu depan tapi kita jaga kita sendiri dulu pada perayaan ini.

“Sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan elak pergi ke tempat yang sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Lundu menggunakan aplikasi ‘Zoom’ bersama Jabatan dan Agensi di Pejabat Daerah Lundu pada Jumaat.

Tambah ADUN Tanjong Datu itu, keselamatan bersama perlu dititikberatkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

“Bersama kita menyampaikan maklumat sebagai wakil komuniti setempat untuk menjelaskan dengan lebih dalam tentang kesedaran COVID-19, pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP serta program vaksin yang sedang diadakan di daerah ini,” jelas beliau lagi.

Ujar Datuk Amar Jamilah lagi, Kerajaan Negeri juga turut menjalankan program ‘Info On Wheel’ (IOW) melalui Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Lundu dan juga Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

“Mereka ini memainkan peranan menyebarkan informasi rasmi kepada seluruh penduduk kampung bukan hanya setakat di media sosial sahaja tetapi juga bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Daerah Lundu agar ia sampai ke akar- umbi,” tambahnya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinisasi sebagai usaha menyokong Kerajaan memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan mengurangkan potensi dijangkiti.-EDISI UKAS

Share

add comment