Rubiah Wang Ziarah Keluarga Mangsa Serangan Buaya Di Kampung Naie Lama

SABTU, 29 MEI 2021

KOTA SAMARAHAN: Prihatin dengan musibah yang menimpa sebuah keluarga mangsa serangan buaya, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menziarahi keluarga tersebut di Kampung Naie Lama di sini pada Jumaat.

Beliau turut melahirkan rasa sedih terhadap kejadian malang yang menimpa mangsa.

Sehubungan itu, Rubiah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa berkenaan.

Mangsa adalah seorang nelayan yang dilaporkan hilang dan telah ditemui setelah usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi-agensi lain sejurus kejadian berkenaan dilaporkan oleh bapa mangsa.

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan SAR berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai mangsa dibaham buaya di Sungai Kampung Naie Lama.

Insiden serangan buaya di sungai berkenaan merupakan yang ketiga direkodkan sejak awal tahun 2021. -EDISI UKAS

Share

add comment