170 KIR Di Semop Terima Bantuan Makanan

AHAD, 30 MEI 2021

SEMOP: Seramai 170 ketua isi rumah (KIR) dari empat buah rumah panjang dan dua sekolah di sekitar DUN Semop menerima bantuan bakul makanan sumbangan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol.

Sumbangan tersebut telah diserahkan di enam lokasi berbeza pada Ahad iaitu di Rumah Isa (43), Rumah Ben (35), Rumah Entalai (10), Rumah Wun (61), SK Telok Gelam (13) dan SK Berkerkong (8).

Penerima merupakan mereka yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab turut menyumbang bantuan bakul makanan di kawasan terbabit.

Penyerahan bantuan bakul makanan telah disempurnakan oleh wakil ADUN Semop, Sanlos Selamat sambil dibantu Skuad Sayang & Saberkas Kampung Semop serta pembantu-pembantu Pusat Khidmat ADUN Semop dan Ahli Parlimen Tanjong Manis. – EDISI UKAS

Share

add comment