JPBB Sri Aman Cadang Sebuah Lagi PKRC Di Dewan Komuniti Taman Harmoni

AHAD, 30 MEI 2021

SRI AMAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman mencadangkan sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) iaitu di Dewan Komuniti Taman Harmoni.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Penasihat kepada JPBB Sri Aman, Datuk Francis Harden Hollis berkata, cadangan penambahan sebuah lagi PKRC di situ adalah sebagai persiapan sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19.

Menurutnya, jika dewan berkenaan dibuka sebagai PKRC, ia mampu memuatkan 50 katil bertingkat dan ini dapat menampung 100 pesakit pada satu-satu masa.

“Keperluan untuk membuka PKRC kedua ini adalah sebagai langkah persediaan JPBB Sri Aman menghadapi keadaan yang lebih buruk dengan kemasukan mendadak kes positif COVID-19 berisiko rendah.

“Pada masa sekarang penempatan pesakit dibahagi ke PKRC Betong dan PKRC Serian,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan Dewan Komuniti Taman Harmoni pada Sabtu.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut mencadangkan pembinaan pagar pelindung pemisah dewan berkenaan dan tambahan untuk tempat mandi petugas PKRC di luar bangunan dewan.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop menasihatkan orang awam agar faham dengan keperluan mendesak pihak berkuasa untuk penempatan pesakit ringan COVID-19 dengan memberi kerjasama yang baik.

Turut serta dalam lawatan tersebut, wakil dari setiap agensi yang berkaitan, Ahli Jawatankuasa Dewan Komuniti Taman Harmoni dan agensi daripada Ahli JPBB Sri Aman. -EDISI UKAS

Share

add comment