Penerima Vaksin Puas Hati Layanan Mesra Petugas Di PPV Mukah

AHAD, 30 MEI 2021

MUKAH: Layanan yang baik dan mesra disediakan oleh petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Mukah antara punca keterbukaan orang ramai untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ini ditambah dengan kesedaran mereka akan perlunya suntikan tersebut untuk melindungi diri dan keluarga tersayang dari wabak berkenaan.

Tinjauan wartawan UKAS di Pusat Penerimaan Vaksin Daerah Mukah pada Ahad mendapati rata-rata penerima amat berpuas hati dengan layanan diberikan petugas di PPV berkenaan.

Bagi Tuai Rumah Kilan Puak, tiada alasan untuk rakyat enggan menerima suntikan vaksin kerana ia usaha baik kerajaan untuk melindungi mereka.

Katanya, suntikan adalah untuk memberi imunisasi terhadap tubuh badan penerima bagi membolehkan masyarakat kembali menjalani kehidupan sosial seperti sebelumnya.

Temenggung Hendi Suhai pula merakamkan penghargaan ke atas petugas barisan hadapan kerana melaksanakan tugas dengan baik dalam memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang akan menyambut Hari Gawai untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Turut senada Walikota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Kadir Jamil sambil menyeru semua rakyat di bahagian Mukah mendaftarkan diri untuk menerima vaksin.

Seorang lagi penerima, Haniah Udin turut menggesa orang ramai mendaftar untuk menerima vaksin demi keselamatan semua.

Seramai 294 warga emas dan individu yang mempunyai sejarah komorbid menerima suntikan pertama vaksin jenis Pfizer. – EDISI UKAS

Share

add comment