Penggantungan Sementara Perkhidmatan Bot Ekspres Ke Dalam Dan Antara Kapit Bermula 30 Mei 2021

AHAD, 30 MEI 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit telah memutuskan untuk menggantung sementara perkhidmatan bot ekspres ke dalam dan antara bahagian Kapit bermula 30 Mei sehingga tarikh yang diberitahu kelak.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan media pada Ahad, keputusan ini adalah bagi membendung penularan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan khususnya sempena perayaan Gawai Dayak yang bakal menjelang.

Antara laluan bot ekspres yang terjejas adalah seperti berikut:

i. Kapit – Putai – Kapit
ii. Sibu – Kapit – Putai – Kapit – Sibu
iii. Kapit – Belaga – Kapit

Selain itu, beliau memberitahu kementeriannya menerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah mengeluarkan notis kepada semua pemilik dan pengusaha bot ekspres serta orang awam mengenai penggantungan sementara perkhidmatan berkenaan.

“Pemilik dan pengendali bot ekspres diingatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Pegawai Penguatkuasa Lembaga Sungai Sarawak di Sibu dan Kapit juga telah diarahkan untuk memantau dengan teliti keadaan di lokasi,” katanya.

Tambah beliau, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pemilik bot ekspres atau pengendali yang didapati melanggar arahan berkenaan.-EDISI UKAS

Share

add comment