Amalkan SOP Gawai Semasa Perayaan, Polis Tubuhkan 18 Pasukan Penguatkuasa Pantau SOP Gawai Dan SOP PKP

ISNIN, 31 MEI 2021

BINTULU: Masyarakat Dayak yang akan meraikan Gawai diminta untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan bukan hanya mematuhi SOP ketika lawatan pihak berkuasa sahaja. 

Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi berkata, pihaknya dapati hampir semua rumah panjang di Bintulu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan berharap ianya dilaksana semasa perayaan Gawai nanti. 

“Apa yang saya mahu selepas ini SOP yang ditunjukkan semasa lawatan ke tempat dan rumah panjang masih kekal diamalkan dan seterusnya semasa kita dalam Gawai ini. 

“Jangan sahaja dalam lawatan nampak cantik selepas pasukan pemantauan balik SOP tidak diikuti. 

“Jadi, saya seru dan mohon kerjasama kepada semua masyarakat kita Iban dan masyarakat yang menyambut Gawai pada tahun ini ikut SOP atau prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan kita. 

Katanya semasa ditemui dalam Operasi Pematuhan SOP Gawai di Rumah Raymond Plin, Gelam pada Sabtu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendent Zulkipli Suhaili berkata Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tugas dan pemantauan seperti yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya telah bentuk 18 pasukan pemantau termasuk pematuhan di peringkat SOP Gawai dan juga pematuhan ke atas SOP PKP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Sarawak. 

“Jadi, PDRM akan laksanakan sebarang pelanggaran garis panduan yang dikeluarkan dalam SOP tersebut kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya. 

Pemantauan SOP Gawai yang ditubuhkan telah memulakan operasi pemantauan pada 28 Mei 2021 hingga 1 Jun 2021 yang terdiri daripada 110 anggota PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM), Unit Penguatkuasaan Keselamatan Negeri (UPKN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan SOP Gawai di patuhi. -EDISI UKAS

Share
0