Datuk Francis Harden Hollis Turun Padang Lawat PPV Dewan Suarah Sri Aman

ISNIN, 31 MEI 2021

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis turun padang melawat program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Suarah Sri Aman, pada Ahad.

Pada lawatan tersebut, beliau telah diberikan taklimat berkenaan dengan operasi harian program vaksinasi oleh penyelaras PPV, Dr Janariah Jangani.

Beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman memberitahu, program vaksinasi pada hari tersebut adalah hari terakhir untuk bulan Mei dan akan diteruskan selepas perayaan Gawai Dayak.

“Hari ini (Ahad) merupakan yang terakhir bagi program suntikan vaksin untuk bulan Mei 2021.

“Program suntikan akan diteruskan selepas Perayaan Gawai Dayak seawal 3 Jun hingga 7 Jun 2021 yang membabitkan 1,602 orang individu menerima suntikan,”katanya.

Jelasnya, kerajaan sedang berusaha mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat dan mencadangkan jumlah penerima suntikan harian kepada 500 orang.

“Usaha juga dicadangkan dengan menggunakan ‘flying doctor service’ untuk program vaksinasi terhadap penduduk di pedalaman bergantung kepada kesesuaian pengendalian vaksin setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat di kawasan pedalaman supaya peka dengan hebahan program vaksinasi terutamanya dari siaran radio tempatan bagi membolehkan mereka hadir ke PPV yang berdekatan.

Selain itu, Datuk Francis menegaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kalangan rakyat.

“Langkah kerajaan menguatkuasakan PKP harus dipatuhi dan semua pihak akur dengan nasihat pihak berkuasa.

“Ketika musim perayaan Gawai Dayak, rakyat di bandar dilarang balik ke rumah panjang.

“Larangan ini bukan untuk menyusahkan rakyat namun demi kebaikan semua dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memastikan penghuni yang tinggal di bandar dilarang sama sekali balik ke kampung,” tegas beliau. –EDISI UKAS

Share

add comment