Guna Ekskavator Lengan Panjang Pindahkan Serpihan Kayu Di Pantai – Datuk Lee Kim Shin

ISNIN, 31 MEI 2021

MIRI: Susulan kejadian serpihan kayu hanyutan laut yang terdampar di Pantai Batu Satu, Kuala Baram, Miri pada hari Sabtu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin telah turun padang dan meninjau kawasan tersebut.

Dalam kenyataan medianya pada Ahad, hasil tinjauan didapati timbunan serpihan kayu yang tinggi di tepi pantai disebabkan pembersihan yang tidak teratur dan kejadian fenomena longgokan serpihan kayu ini wujud lagi setelah dibawa balik oleh arus ombak laut ketika air pasang.

Sebelum ini, kerja-kerja pembersihan kawasan Pantai Batu Satu, Kuala Baram ini telah dilakukan kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri selepas nelayan tempatan menghadapi kesukaran untuk pergi ke laut bagi menangkap ikan.

Dalam pada itu, wakil nelayan yang ditemui berkata ketika air pasang kejadian longgokan serpihan kayu itu datang kembali dan ini menyukarkan nelayan menurunkan bot turun ke laut. 

“Kejadian longgokan serpihan kayu ini datang kembali apabila air pasang dan keadaan ini telah menyusahkan bot-bot nelayan keluar masuk untuk turun ke laut untuk mencari rezeki,” katanya. 

Sehubungan itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Senadin meminta kontraktor menggunakan ekskavator jenis lengan panjang untuk memindahkan timbunan serpihan kayu di pantai itu ke lokasi yang lebih jauh bagi mencegah timbunan serpihan kayu dihayun balik semula oleh hentakan ombak.

Isu ini dijangka akan dapat diselesaikan sepenuhnya apabila Projek Pengawalan Hakisan Pantai yang sedang giat dijalankan di empat lokasi siap pada tahun November 2022.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Jurutera Bahagian JPS Miri Ir. Hiew Si Tien dan Kapitan Ngieng Hok Diing. -EDISI UKAS

Share

add comment