Gunakan Platform Media Sosial Untuk Dekatkan Hubungan Bersama Keluarga Semasa Perayaan Gawai

ISNIN, 31 MEI 2021 

KUCHING: Tradisi ngabang sempena Hari Gawai pada tahun ini tidak dapat diadakan seperti tahun-tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19. 

Bagaimanapun, ujar Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sambutan perayaan Gawai ini dapat terus dirayakan bersama keluarga terdekat. 

“Saya yakin, pengalaman merayakan Gawai pada tahun lepas boleh dijadikan panduan dalam merayakan sambutan Hari Gawai kali ini. 

“Platform media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan lain-lain masih boleh digunakan untuk berhubung bersama keluarga yang jauh dan tidak dapat dikunjungi. 

“Inilah norma baru yang harus terima, dan kita berharap ini hanyalah sementara. 

“Saya yakin keadaan akan kembali normal jika kita terus mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan dalam membendung COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Gawai 2021 pada Isnin. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut memaklumkan Kerajaan Sarawak sebelum ini telah membelanjakan RM3.2 bilion bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) . 

“Bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi tersebut, kerajaan samada di peringkat Persekutuan dan Sarawak telah melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan. 

“Kerajaan Persekutuan contohnya telah melaksanakan bantuan-bantuan melalui beberapa pakej seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI dan PEMERKASA. 

“Manakala Kerajaan Sarawak telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga BKSS 5.0. yang berjumlah RM3.2 billion. 

“Bantuan-bantuan yang disediakan di bawah BKSS ini meliputi seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan fahaman politik,” ujarnya. 

Beliau turut menyeru kepada mereka yang belum mendaftar untuk program vaksinasi COVID-19 agar segera mendaftar dan ianya boleh dibuat melalui aplikasi Mysejahtera atau di pejabat daerah yang terdekat.

Tindakan ini penting agar kita segera bebas dari wabak ini dan kehidupan dapat kembali seperti sediakala. -EDISI UKAS