IKBN Miri Dipilih Sebagai PPV Astrazeneca

ISNIN, 31 MEI 2021

MIRI: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri akan digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca untuk Bahagian Miri yang akan bermula pada 7 Jun 2021.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad mengesahkan bahawa pemilihan lokasi itu dilakukan selepas Lawatan Pemantauan Persediaan JPBB Miri pada Sabtu. 

Katanya, beliau berpuas hati mendengar perbincangan serta taklimat daripada wakil klinik swasta yang dilantik untuk melakukan pemberian vaksin AstraZeneca berhubung persiapan serta aturan yang diperlukan untuk mewujudkan satu PPV di IKBN Miri.

“IKBN Miri akan dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin yang dikhususkan untuk vaksin AstraZeneca. Hanya individu yang telah mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera sahaja perlu hadir ke PPV IKBN Miri untuk mendapatkan suntikan vaksin mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan 

Dalam pada itu, JPBB Miri turut meninjau dua buah lagi lokasi bagi tujuan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan berkaitan dengan COVID-19 di Bahagian Miri antaranya Dewan Suarah Miri untuk aktiviti pengeluaran Release Order serta Pusat Pembuangan Gelang dan Stadium Miri untuk dijadikan sebagai Covid Assessment Centre (CAC).

Ujar Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, sehingga Sabtu, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah melaporkan sebanyak 2,514 suntikan vaksin COVID-19 telah dilaksanakan di Bahagian Miri, masing-masingnya di Dewan Eastwood Valley sebanyak 540, Dewan Dato Permaisuri sebanyak 498, Dewan Masyarakat Sepupok Niah sebanyak 378, Dewan Suarah Marudi sebanyak 360, Dewan Terbuka Long Lama sebanyak 282, Hospital Miri sebanyak 390 dan Hospital Marudi sebanyak 66. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Frederick, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam dan wakil daripada agensi berkaitan di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share
0