John Ilus Puji Masyarakat Serian Patuh SOP PKP

ISNIN, 31 MEI 2021

SERIAN: Kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) masyarakat di Serian amat memuaskan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 29 Mei yang lepas.

Ketika dihubungi UKAS, John Ilus memaklumkan pengunjung yang agak kurang menunjukkan mereka mempunyai kesedaran patuh pada arahan apabila ingin membeli barangan keperluan harian.

“Ini menunjukkan masyarakat Serian sedar akan peranan mereka untuk keluar rumah apabila perlu sahaja bagi membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Didapati setiap pelanggan menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki kedai, memakai pelitup muka dan membeli barangan keperluan sahaja.

“Pemilik premis perniagaan juga mematuhi garis panduan SOP dan hanya aktiviti peruncitan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP,” katanya pada Isnin.

Selain itu, beberapa peniaga seperti peniaga pakaian dan aksesori kereta terpaksa akur dengan SOP PKP yang dilaksanakan dan menutup premis mereka.

Dalam pada itu, John Ilus merakamkan penghargaan kepada masyarakat di Serian atas kerjasama mereka mematuhi SOP dan berharap agar kesedaran ini berterusan. –EDISI UKAS

Share

add comment