Kerajaan GPS Lakukan Terbaik Demi Rakyat Tangani Pandemik COVID-19

ISNIN, 31 MEI 2021

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melakukan yang terbaik untuk rakyat negeri ini bagi menangani pandemik COVID-19 di Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setakat Mei ini, kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM242 juta untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Menurut beliau, perbelanjaan itu termasuk kos kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya dan ia tidak termasuk bantuan khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 1.0) 1 hingga BKSS 5.0 sebanyak RM3 bilion untuk meringankan beban rakyat akibat pandemik itu.

“Sebagai ketua pentadbiran negeri, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan GPS akan melakukan yang terdaya bagi menangani pandemik COVID-19 di Sarawak. Kerajaan GPS juga telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik COVID-19.

“Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukan bantuan khas sebanyak yang telah diperuntukkan di bawah BKSS 1.0 hingga BKSS 5.0 berjumlah RM2.6 bilion, tiada negeri yang menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya dan tiada negeri yang membuat perolehan vaksinnya sendiri…hanya Sarawak,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2021 pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan, kerajaan GPS juga berusaha sedaya upaya untuk memastikan program imunisasi bagi seramai 2.08 juta rakyat Sarawak berjalan lancar dan selesai menjelang Ogos tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan telah memberi kelulusan kepada kerajaan Sarawak untuk membuat perolehan vaksinnya sendiri di samping kelulusan untuk mewartakan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri menambah, sebagai langkah tambahan untuk menangani COVID-19 sempena Gawai, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk tidak mengeluarkan lesen laga ayam atau sabong ayam untuk mengurangkan ruang bagi jangkitan terus menular pada musim perayaan ini.

Tegas beliau, langkah seumpamanya mungkin tidak popular, namun perlu dilakukan supaya rakyat Sarawak kekal selamat.

“Sebelum ini arahan saya supaya ziarah Hari Raya untuk satu hari sahaja juga keputusan yang tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam, namun perlu dilaksanakan supaya keadaan dapat dikawal.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa pada masa ini yang lebih menyukarkan untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah terdapat banyak kes melibatkan orang yang tidak bergejala.

“Kes-kes tidak bergejala telah menyebakan kes-kes jangkitan ‘sporadic’ kerana tanpa disedari pembawa virus berada di khalayak ramai seperti di pusat-pusat membeli-belah sebagai orang yang sihat tubuh badan. Ingat! Semua kita berkemungkinan adalah pembawa virus.Oleh itu, sentiasa jaga diri dan jaga orang lain di sekeliling kita,” tambahnya.

Ketua Menteri turut menjelaskan, seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, ini merupakan kali kedua Gawai Dayak terpaksa diraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Ujar beliau, amat menyedihkan kerana ramai yang tidak dapat merayakan Gawai bersama keluarga dan sahabat handai di kampung atau rumah panjang.

“Saya amat faham bahawa inilah masanya bagi saudari dan saudari yang berada di tempat lain kerana mencari rezeki seperti di bandar-bandar di Semenanjung Malaysia atau di luar negara untuk kembali ke tempat asal masing-masing untuk merayakan Hari Gawai bersama sanak saudara.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada saudara dan saudari yang tidak dapat kembali ke kampung halaman atau rumah panjang masing-masing atau pulai ke menua kerana larangan rentas negeri atau rentas zon yang dikenakan demi keselamatan kita semua daripada bahaya COVID-19,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment