Kerjasama Masyarakat Dayak Ditagih, Ikut SOP Gawai Elak Penularan COVID-19

ISNIN, 31 MEI 2021

BINTULU: Masyarakat perlu bekerjasama dalam memastikan penularan wabak pandemik COVID-19 dapat dibendung dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, masyarakat tidak perlu bergaduh disebabkan penularan COVID-19 kerana virus ini tidak nampak dan sesiapa boleh dijangkiti jika langgar SOP. 

“Apabila sudah dijangkiti COVID-19 ini tidak guna bergaduh dengan menyalahkan satu sama lain. 

“Saya mahu berterus terang kepada anda semua, kalau kita sudah terkena jangkitan COVID-19 dan bergaduh pun tidak guna. 

“Virus COVID-19 ini kita tidak nampak dan kita tidak boleh pegang. 

“Apa yang paling mustahak ialah kita perlu bekerjasama dengan mengikut SOP. Kalau kita ikut SOP baharulah kita bukan kata apa, boleh selamat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Operasi Pematuhan SOP Gawai di Rumah Raymond Plin, Gelam pada Sabtu. 

Datuk Seri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China turut meninjau dan berucap di Rumah Saging Layang merayu masyarakat Dayak pada tahun ini merayakan Gawai mengikut SOP bagi mengelak dijangkiti COVID-19. 

“Perayaan Gawai tahun ini kita laksanakan ikut SOP dan tiada wujudnya Kluster Gawai.

“Ini bagi membolehkan anamiak atau penduduk rumah panjang dapat meraya Gawai dengan selamat pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang. 

“Saya tahu ada orang tidak boleh terima tetapi dalam masa sekarang kita tidak mahu terima perlu terima untuk kebaikan diri sendiri,” ujarnya. 

Justeru, orang ramai khususnya mereka yang berhasrat untuk pulang ke kampung merayakan Gawai untuk tidak balik dan pada masa tidak melakukan aktiviti ziarah serta berkumpul pada perayaan Gawai ini bagi mengelak penularan COVID-19 dalam masyarakat. -EDISI UKAS

Share

add comment