NGO’s Bantu Sediakan Kemudahan Kerusi Dan Kanopi Di PPV Dewan Sukan Tatau

ISNIN, 31 MEI 2021

TATAU: Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) di Daerah Tatau seperti Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus, SABERKAS Unit Pasar Lama Tatau, Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Persatuan Anak Tatau (PERANTAU) telah menyalurkan kemudahan kerusi dan kanopi bagi keperluan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sukan Tatau. 

Bagi Pemangku Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau Calvin Ligong, beliau mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan yang telah diberikan keempat-empat NGO’s yang telah sama membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Fasa Kedua ini. 

Katanya pada Ahad, dengan adanya kemudahan ini akan membantu kelancaran proses pemberian vaksin DOVID-19 di Daerah Tatau di samping menambah kemudahan yang sedia ada.

SABERKAS Cawangan DUN Kakus dan SABERKAS Unit Pasar Lama Tatau telah menyediakan 100 unit kerusi bagi kemudahan di PPV Daerah Tatau.

Selain itu Persatuan KMKK Daerah Tatau juga turut menyediakan 80 unit kerusi bagi kemudahan di PPV tersebut.

Persatuan Anak Tatau (PERANTAU) pula menyediakan 4 unit kanopi bagi kemudahan ruang tempat menunggu di luar PPV di Dewan Sukan Tatau.

Dalam pada itu, seramai 305 orang warga emas dan golongan rentan menerima suntukan vaksin COVID-19 di PPV Dewan Sukan Tatau. 

Kebanyakan mereka menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama. 

Secara keseluruhannya, proses vaksinasi berjalan lancar yang dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibantu petugas Sukarelawan MyVacc, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan akitangan Pejabat Daerah Tatau. -EDISI UKAS

Share

add comment