Raikan Perayaan Gawai Tahun Ini Dengan Patuhi SOP Gawai

ISNIN, 31 MEI 2021

KUCHING: Sambutan perayaan Gawai pada tahun ini disambut dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Gawai seperti yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19. 

Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud  dalam perutusan sempena Hari Gawai 2021 pada Isnin berkata, kekangan seperti tidak boleh berkumpul beramai-ramai dan tidak boleh ngabang Gawai perlu dipatuhi. 

Katanya lagi, mereka yang dari perantau pulang ke kampung halaman dan bertemu ahli keluarga setelah lama berpisah juga tidak dapat berbuat demikian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan kuarantin 14 hari di Sarawak. 

“Pihak kerajaan pula tidak mungkin dapat melakukan pemantauan dari rumah ke rumah sepanjang musim Gawai ini. 

“Oleh itu, atas dasar prihatin dan percaya, saya berharap agar Ketua Kampung dan Tuai Rumah masing-masing dapat memastikan setiap garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan dapat dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat sepanjang musim perayaan ini,” katanya. 

Tambah Tun Pehin Sri Abdul Taib lagi, beliau menyeru semua pihak berganding bahu mengekang penularan wabak COVID-19 ini. 

“Kita sudah tentu tidak mahu ahli keluarga kita, terutamanya golongan-golongan tua seperti aki’ (datuk) dan ini’ (nenek) kita untuk dijangkiti oleh virus ini seterusnya membahayakan nyawa mereka. 

“Hari Gawai dapat disambut setiap tahun, tetapi nyawa yang hilang atas kecuaian kita sendiri, sudah tentu tidak dapat diganti,” tambah beliau lagi. 

Beliau juga turut tidak lupa kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus dalam memerangi penularan wabak COVID-19 ini. 

“Di kesempatan ini, syabas dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada petugas barisan hadapan kita yang tidak pernah mengenal penat lelah berjuang untuk memastikan kita tidak tumpas akibat pandemik ini,” ujar beliau. 

Tun Pehin Sri Abdul Taib juga menyeru semua ralyat berganding bahu mengekang penularan wabak COVID-19 dan dilindungi di sepanjang perayaan ini serta diberikan kesihatan yang baik, umur yang panjang, kemakmuran dan rezeki yang berlimpahan untuk tahun ini, dan masa-masa yang akan datang. -EDISI UKAS

Share

add comment