Sambut Hari Gawai Dengan Norma Baharu: Datuk Amar Douglas Uggah

ISNIN, 31 MEI 2021

KUCHING: Masyarakat Dayak disaran agar tidak pulang ke kampung atau rumah panjang pada tahun ini untuk meraikan perayaan Hari Gawai sebagai usaha memutuskan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Manteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengingatkan masyarakat di rumah-rumah panjang dan kampung untuk tidak menganjurkan rumah terbuka dan ‘Ngabang’.

Dalam hal ini, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang dan kampung memainkan peranan dalam ‘community policing’ memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Gawai yang ditetapkan dipatuhi demi untuk melindungi diri dan orang tersayang.

“SOP yang ketat bukan bermaksud untuk menyusah atau membebankan rakyat. Ia untuk menyelamatkan nyawa. Tahun lalu, sangat sedikit rumah panjang yang terjejas. Tetapi tahun ini senario berubah menjadi suram.

“Sebanyak 634 rumah panjang di seluruh negeri terjejas dan diletakkan di bawah ‘lockdown’ setakat ini. Sebanyak 3,894 kes positif dicatatkan.

“Pihak berkuasa kesihatan telah mengesan bahawa rantaian jangkitan ini berpunca dari perhimpunan sosial seperti pengebumian, perkahwinan, perayaan ulang tahun, gotong-royong, sabung ayam dan sebagainya,” katanya dalam perutusan Hari Gawai pada Isnin.

Katanya, Kluster Pasai di Sibu adalah terburuk di mana ia telah menyebabkan sebanyak 2,693 kes positif dan 29 kematian.

Tambah beliau, kluster tersebut merupakan yang terbesar di Sarawak setakat ini dan dikategorikan di bawah Import B manakala terdapat 12 kluster di bawah Import C yang menyumbang kepada 545 kes positif dan tiga kematian.

Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak menjelaskan usaha untuk memerangi wabak itu kini bersandarkan kepada Program Imunisasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, sebanyak 270 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah diwaujudkan di Sarawak di mana sasaran kerajaan negeri untuk memberi suntikan tersebut kepada semua rakyat di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas.

“Setakat 12 Mei tahun ini, seramai 1.3 juta orang telah mendaftar untuk divaksinasi. Namun jumlah ini hanya 54.4 peratus dari mereka yang layak.

“Justeru, saya merayu kepada mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian dengan segera samada melalui MySejahtera atau pergi ke Pejabat Daerah atau klinik kesihatan terdekat,” tambahnya.

Untuk memudah dan mempercepat program imunisasi, kerajaan negeri katanya telah melantik sebanyak 23 klinik swasta dan lima hospital swasta untuk menyediakan perkhidmatan vaksinasi secara percuma.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk menambah 16 lagi klinik swasta dan dua hospital swasta. – EDISI UKAS

Share

add comment